Saturday, 27 December 2014

Filem Kasutku Kusut

  • Bila kasut Manap hilang
 1 / 1 
WALAUPUN industri perfileman tempatan mengalami kemerosotan dari segi kutipan di pawagam, namun ianya tidak mematah semangat penerbit terkenal ini dalam menghasilkan karya demi karya.

Antara syarikat penerbitan yang paling aktif dalam menghasilkan filem tempatan, Metrowealth International Group (MIG), terus optimis memberikan sajian di panggung.

Terbaharu, filem bergenre aksi komedi, Kasut Ku Kusut (KKK), akan menggeletek di pawagam bermula 18 Disember ini.

Mempertaruhkan gandingan pelakon lama dan baharu, Mejar (K) David Teo, berharap agar filem ini berjaya menarik penonton bersama-sama melangkah ke pawagam.

Menurutnya, filem ini mempertaruhkan gandingan pertama pelakon popular, Shaheizy Sam bersama pelakon baharu kelahiran Singapura, Atikah Suhaime.

"Tajuk Kasutku Kusut (KKK), sama seperti penceritaannya yang penuh komedi dan unsur suspens di mana ianya turut mengadunkan beberapa elemen lain untuk memeriahkan jalan cerita.

"Dalam filem ini, kami menggandingkan Sam dan Atikah sebagai peneraju utama dengan watak-watak sampingan seperti Along Eyzendy dan Pablo Amirul.

"Walaupun Atikah pelakon baharu, namun saya melihat perkembangan seninya dalam beberapa filem sebelum ini. Dia mempunyai bakat yang bagus," katanya yang memberitahu filem ini mengetengahkan dialek Perak.

Filem ini mengisahkan Manap, pemuda kampung yang terlibat dalam permasalahan demi permasalahan apabila kasut kesayangannya hilang.

Namun, dia terjebak dalam konflik apabila berjumpa dengan Suzi yang berjaya menyelamatkan diri daripada diculik.

Permasalahan mula timbul apabila Manap menyedari kasut yang dipakai Marcos, penculik upahan itu sama seperti kasutnya.


Genre baharu Pierre

Jika sebelum ini, Pierre Andre lebih fokus menghasilkan filem-filem bercorak seram, namun untuk KKK, David mencabar kebolehannya dalam genre komedi.

Menurut David, sebagai pengarah yang berpengalaman, Pierre bijak mengadun elemen menarik dalam filem ini termasuk dari segi dialog dan aksi.

"Walaupun Pierre lebih sinonim dengan genre seram, namun dia membuktikan kebolehannya dalam filem ini. Malah, bila melihat keseluruhan jalan cerita, saya berpuas hati dengan hasil kerjanya.

"Penonton juga boleh berhibur menonton filem ini kerana penceritaannya sangat jelas walaupun hanya menggunakan isu biasa iaitu kasut.

"Filem ini lain daripada filem sebelum ini kerana kami tidak menyampaikan komedi dalam konsep yang sama. Jika sebelum ini kami menggunakan isu rempit, motosikal dan romantik, namun menerusi KKK, hanya menggunakan kasut. Selain itu, cerita ini juga lebih dekat dengan masyarakat," jelasnya.


Sasaran kutipan

Menelan kos pembikinan RM1.2 juta, David mengakui pasaran industri sekarang sukar untuk menjamin pulangan yang lebih besar.

Malah, untuk filem ini, dia tidak meletakkan harapan yang tinggi dan hanya meletakkan sasaran RM1 juta sahaja.

"Kebanyakan filem yang berada di pawagam mengalami nasib yang sama dan sekiranya berjaya mencapai sehingga RM1 juta, ia sudah cukup memadai.

"Saya juga beranggapan begitu dan sekiranya dapat sekitar RM1 juta, saya sudah berpuas hati. Bagi saya, inilah cabaran yang paling besar buat rata-rata pengkarya termasuk saya sendiri.

"Sebab itulah, saya sedaya upaya mengurangkan kos produksi untuk sesebuah filem agar kerugian itu tidak terlalu teruk," katanya yang mengakui Astro First banyak membantu dalam menjana pendapatan lain selain pawagam.

Akui David, kekurangan penonton di pawagam bukan kerana bilangan penonton semakin berkurangan, namun ramai di kalangan masyarakat memilih jalan mudah untuk mendapatkan filem berkenaan.

"Kalau nak dibandingkan antara tontonan di pawagam dan di Astro First, ramai yang memilih Astro First kerana dengan nilai yang hampir sama, mereka boleh menonton berulang kali di rumah.

"Malah, mereka boleh menontonnya seisi keluarga dengan harga yang sama untuk satu tiket di pawagam. Namun, tidak kurang juga yang memilih jalan mudah dengan memuat turun filem berkenaan di Internet.

"Ini menunjukkan permintaan dari segi tontonan masih ramai, cuma mereka memilih jalan sendiri untuk menikmatinya dengan kemudahan teknologi kini," katanya lagi.

Jelas David lagi, dia juga memilih untuk mempertaruhkan muka-muka baharu untuk mengurangkan kos kerana untuk pelakon yang sudah lama, mereka mempunyai 'demand' yang tinggi dari segi bayaran.

"Bagi saya, baharu atau lama pelakon itu tidak menjamin filem berkenaan boleh pergi jauh kerana ada di antara filem saya yang berjaya mengaut keuntungan tinggi walaupun hanya dibarisi pelakon baharu dan begitu juga sebaliknya.

"Walaupun mereka masih baharu, namun mereka bagus. Jadi, untuk apa saya perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk sesuatu yang sama kebolehannya?," katanya lagi.

Tambah David, selepas KKK, filem terbitannya yang bakal menemui penonton termasuk, Adik Abang, Suamiku Jatuh Dari Langit dan Jalan Puncak Alam.


Reaksi pelakon

"Watak saya sebagai Manap, seorang budak kampung yang dibesarkan di Perak. Dia mempunyai keinginan yang tinggi untuk memiliki sepasang kasut dan dengan titik peluhnya, dia berjaya mendapatkan kasut itu. Ketika diberikan skrip filem ini, saya sudah menjangkakan filem ini pastinya menarik. Dari segi cabaran pula, saya perlu bercakap menggunakan dialek Perak. Inilah cabaran yang perlu saya sahut dalam filem ini." - Shaheizy Sam-

"Memegang watak Suzi, saya lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris dalam perbualan kerana saya merupakan gadis bandar yang sesat di perkampungan itu. Terlalu banyak cabaran yang perlu saya tempuhi, paling ketara apabila saya di kelilingi bakat-bakat besar. Kebolehan mereka tidak perlu diragui lagi dan saya perlu mencari idea untuk menonjolkan diri." - Atikah Suhaime-

INFO

JUDUL : Kasutku Kusut
Genre : Komedi
Tarikh Tayangan : 18 Disember 2014
Pengarah : Pierre Andre
Terbitan : Metrowealth Pictures
Pelakon : Shaheizy Sam, Atikah Suhaime, Along Eyzendy, Pablo Amirul